Sunday, May 15, 2011

selamat hari guru!!! :-)

Saturday, May 14, 2011

Mihrab Cinta

Tak pernah terlintas di benakku
Saat pertama kita bertemu
Sesuatu yang indah tumbuh dalam gundah
Harum dan merekah
Tulus hatimu buka mataku
Tegar jiwamu hapus raguku
Memboncah di hati harapan dan suci
Menyatukan janji
Bunga-bunga cinta indah bersemi
Diantara harap pinta padanya
Tuhan tautkanlah cinta di hati
Berpadu indah dalam mihrab cinta...

Friday, May 13, 2011

Halal Haram Suatu Sensitiviti Yang Perlu Dizahirkan

Sahabat-sahabat seperjuangan yang amat saya kasihi sekalian, saya ingin mengajak diri saya dan sahabat semua, marilah kita menginsafi suatu isu yang sudah pasti akan membangkitkan sensitiviti kita sebagai umat islam. Walaupun kita berada dalam masyarakat yang sering berbeza pendapat dalam banyak perkara, namun dalam masalah ini, kita harus duduk satu meja untuk memikirkan dan menginsafi sebuah perjuangan yang suci lagi murni iaitu memperjuangkan isu halal haram yang berlegar di sekeliling kehidupan kita seharian.

Tunjang Akidah

Bila kita memperkatakan tentang isu ini, kita tidak akan dapat lari daripada pegangan akidah yang kita genggam selama ini. Sahabatku, Allah menurunkan al-Kitab (Quran) dan Rasulullah mengajarkan as-Sunnah (Hadis) bagi membimbing makhluk bernama manusia agar tidak terseleweng daripada landasan sebenar. Jika sekiranya Allah tidak mengajar dan membimbing kita menerusi al-Kitab dan as-Sunnah, kita pasti akan terkapai-kapai mencari kebenaran yang hakiki. Sememangnya kita dianugerahkan akal fikiran untuk berfikir dan terus berfikir menjawab persoalan kebenaran yang bermain di benak fikiran kita semua. Bagi mereka yang mengalami masalah hutang, mereka akan berfikir bagaimana ingin melunaskan hutang-piutang, bagi mereka yang mentadbir sebuah negara, mereka berfikir bagaimana untuk menguruskan soal politik, bagi mereka yang berniaga, mereka berfikir bagaimana untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda, bagi mereka yang memiliki keluarga, mereka berfikir bagaimana untuk menyara dan memberikan sebuah kebahagiaan kepada ahli keluarga mereka. Semua masalah tersebut mampu diselesaikan dengan hanya menggunakan akal fikiran anugerah Yang Maha Esa.

Namun manusia memiliki pendapat berbeza-beza, dan pendapat setiap manusia adakalanya benar dan adakalnya salah. Perkara yang disebutkan di atas adalah perkara yang masih mampu difikirkan oleh manusia. Di sana ada perkara yang tidak mampu dicapai oleh akal fikiran manusia walau sebijak manapun mereka. Perkara-perkara ghaibiyyat tidak mampu dicapai oleh tahap kognitif manusia. Perkara sebegini memerlukan petunjuk daripada pemilik alam ini. Begitu juga dengan perkara-perkara yang memerlukan tempoh masa yang panjang untuk untuk mengkaji dan mendapatkan keputusan yang tepat. Maka untuk mendapatkan bukti dari segi kesihatan sudah pasti 1400 tahun dahulu manusia masih tidak mampu untuk mengkaji secara saintifik tentang sebab musabab pengharaman makanan yang ditentukan oleh Allah. Justeru pada ketika inilah rujukan utama kita adalah apa yang diturunkan oleh tuhan pencipta alam sebagai kayu ukur dalam membezakan salah atau benar sesuatu perkara. Firman Allah :

“Jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunnah)” (surah an-Nisa’ ayat 59)

Setelah kita meyakini dan akur bahawa tiada suatu kuasa yang mampu menyelesaikan masalah ummat, dan mampu memberikan petunjuk kepada jalan yang benar, melainkan kuasa Yang Maha Esa, apakah kita mahu berlengah dan berdalih lagi untuk sama-sama menghayati ajaran yang mulia ini. Kita sering mendengar bahawa “nak seribu daya, tak nak seribu dalih”. Tetapi saya katakan bahawa mereka yang mahu akur dengan ketetapan Allah pasti mencari seribu daya untuk melunaskan tuntutan tersebut, namun mereka yang enggan akur kepada ketetapan ini tidak perlu kepada seribu dalih, bahkan mereka hanya perlu kepada satu dalih sahaja, sudah memadai untuk menolak semua tuntutan ini. Mereka inilah golongan yang ingkar. Oleh kerana itulah mereka yang memahami dan meyakini hakikat ini akan menurut segala kehendak al-Kitab dan as-Sunnah. Kita juga sudah pasti tidak terlepas dari melunaskan tuntutan ini. Mereka yang memiliki kekuatan akidah tidak perlu mempersoalkan segala ketetapan dari Allah, bahkan mereka mengikut tanpa sebarang prasangka. Itulah yang perlu ada kepada kita sebagai seorang islam.

Pemakanan

Al-Quran sangat menitikberatkan isu pemakanan halal dan haram. Allah menurunkan ayat yang menjadi garis panduan pemakanan kepada sekelian manusia agar manusia menjaga prinsip pemakanan yang betul. Kita wajib mengikuti segala yang telah ditetapkan oleh Allah tanpa sebarang alasan dan dalih. Firman Allah :

“Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu” (Surah al-Baqarah ayat 168)

Ayat ini menjelaskan prinsip mencari makanan dalam kehidupan seharian. Pemakanan yang halal dirakamkan oleh Allah dalam al-quran membuktikan bahawa kehalalan sesuatu yang mengalir dalam tubuh badan seseorang manusia adalah sangat penting dan dituntut oleh Allah. Tidak cukup dengan penekanan mencari yang halal, Allah turut menekankan bahawa halal itu perlu di gabungkan dengan thoyyib (baik), menjadikan tuntutan mencari makanan itu adalah yang halal dan thoyyib. Sehingga kini, isu halal dan haram banyak digembar-gemburkan dalam media elektronik dan media cetak terutamanya surat khabar dan rancangan-rancangan di televisyen seolah-olah isu ini walaupun sudah lapuk, namun tidak ada penghujungnya.

Terlalu banyak isu halal haram yang keluar dalam media seperti isu Tesco disaman kerana menjual ayam yang tidak disembelih, isu ayam yang disuntik enzim babi, isu keraguan status ayam kerana penyembelih yang tidak bertauliah, isu kilang tauhu bersama kandang babi, isu bebola ikan perut babi, isu sosej usus babi dan sebagainya. Jika kita peka dengan tajuk-tajuk akhbar, kita akan dapati semua yang ditulis ini adalah tajuk-tajuk yang tersiar di dada-dada akhbar. Halal dan haram adalah suatu yang jelas dan tidak boleh dipertikaikan lagi kerana Allah telah menyebut dengan jelas dalam al-quran. Firman Allah :

“Sesungguhnya Dia mengharamkan ke atasmu bangkai, darah, daging babi, dan daging haiwan yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah”. (Surah al-Baqarah ayat 173)

Berpegang kepada logo halal? Logo halal pun sudah dipermainkan begitu sahaja. Banyak kes-kes yang tertera di dada akhbar membuktikan logo halal dipermainkan. Pada hari ini logo halal tidak boleh dipercayai lagi kerana kita sudah lali dengan timbunan kes-kes yang tidak menjaga sensiviti umat islam. Contohnya kes logo halal dibeli. Sememangnya tidak ada akta yang boleh menyaman sesiapa yang mengeluarkan logo halal. Oleh kerana itulah ramai peniaga yang berani mengeluarkan logo halal walaupun ada unsur yang haram dimasukkan.

Syubhah

Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh semua golong yang bergelar muslim. Namun hakikat pada hari ini, pencarian makanan yang halal adalah sukar walaupun kita berada di negara yang majoritinya di kalangan orang islam. Mungkin ramai yang tidak percaya dengan apa yang diperkatakan ini. Hal ini kerana masih ramai yang tidak mendapat pendedahan tentang unsur-unsur yang dimasukkan dalam makanan seharian kita. Jika didedahkan sudah pasti ramai yang akan terkejut dengan hakikat halal dan haram yang berlaku sekarang. Kita sangat bersyukur kerana pada hari ini masih tidak ada orang islam yang makan daging khinzir secara jelas. Jika ada sekalipun, sudah pasti kes-kes seperti itu termasuk dalam kes-kes terpencil. Mungkin kerana sensitiviti terhadap pemakanan yang halal dan haram masih kukuh di hati-hati umat islam.

Namun unsur-unsur haram dimakan seperti khinzir dan darah masuk ke dalam industri makanan dalam bentuk yang sukar dikesan oleh orang islam. Contohnya, gelatin yang datang dari sumber lemak binatang yang haram, jika sekiranya gelatin yang terdapat dalam sesuatu makanan bukan dari sumber lemak binatang yang haram seperti khinzir, adakah kita pasti bahawa binatang tersebut disembelih? Jika benar binatang tersebut disembelih, timbul pula persoalan adakah disembelih dengan cara islam? Keraguan tersebut lebih menghantui kita semua apabila gelatin tersebut diproses dari negara-negara Barat. Sememangnya apabila kita mengkaji dari sudut hukum, kita akan bertemu dengan satu proses yang dinamakan sebagai ‘istihalah’. Istihalah bermaksud perubahan yang berlaku kepada zat dan berubah dari zat asal kepada zat baru yang berbeza dari segi rasa, warna dan bau. Contoh yang biasa dibawa dalam kitab-kitab fiqh ialah apabila arak bertukar menjadi cuka di mana cuka ini boleh dimanfaatkan.

Begitu juga dengan masalah gelatin dari sumber lemak babi. Jika lemak babi yang terdapat dalam gelatin tersebut sudah melalui proses istihalah yang menyebabkan sifat yang haram itu berubah secara keseluruhannya, maka hukumnya juga turut berubah. Namun persoalannya, adakah gelatin tersebut melalui proses istihalah sepenuhnya? Jika gelatin lemak babi tidak melalui proses istihalah sepenuhnya maka hukumnya tetap haram dimakan. Dalam masalah gelatin yang datang dari sumber lemak binatang yang dipersoalkan sembelihannya, kalau sekiranya anda lebih terbuka dalam perkara khilafiah, maka di sana ada pendapat ulama yang membenarkan memakan sembelihan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani). Ini bermakna jika gelatin tersebut datang dari negara yang beragama Yahudi atau Nasrani, hukumnya adalah harus dimakan. Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni menyatakan :

"Ijma' ulama' membenarkan memakan daging sembelihan ahli kitab! Kerana firman Allah swt : 'Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu' (al-Maa'idah ayat 5)” (al-Mughni, 13/293).

Jika benar gelatin tersebut datang dari sumber binatang halal dan dari Negara ahli kitab, timbul pula persoalan adakah binatang tersebut benar-benar disembelih ataupun dibunuh dengan penggunaan elektrik dan sebagainya? Sudah tentu timbulnya keraguan di hati masyarakat kerana masyarakat digembar gemburkan dengan isu ayam yang dibunuh menggunakan kuasa elektrik. Kesimpulannya, semua persoalan ini akan berakhir dengan keraguan (syubhah) kerana mampukah kita untuk menyelidiki satu persatu hanya untuk membeli produk makanan, terutamanya makanan ringan? Sudah pasti ramai yang malas untuk menyiasat satu persatu bagi memastikan sumber bahan yang digunakan adalah benar-benar halal. Sebenarnya islam telah memberikan garis panduan apabila berhadapan dengan masalah syubhat (keraguan) dalam pemakanan. Sabda Rasulullah s.a.w :

“Tinggalkanlah apa-apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu” (Hadis Riwayat Tirmizi no: 2520)

Jelas di sini bahawa tidak ada alasan lagi bagi kita untuk mempertikaikan hujah-hujah terhadap pendedahan yang telah dilakukan. Kita patut berterima kasih kepada mereka yang mendedahkan unsur-unsur haram yang terdapat dalam makanan. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah mengeluarkan buku yang mendedahkan semua ini berdasarkan kajian-kajian yang telah dilakukan. Saya menyarankan agar para sahabat sekalian mencari buku-buku tentang pendedahan halal haram untuk dibaca. Siapakah lagi yang mahu menjaga sensiviti halal haram jika bukan kita umat islam sekalian?

Disediakan oleh Nik Mohd Fahmi b. Nik Harun Aminarrashed.
12 Mei 2011, Sungai Petani, Kedah